6 Februari 2025 | 7 Syaaban 1446H
Shah Alam – Dua pustakawan dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dipilih sebagai peserta kajian bertajuk Malaysian Librarians’ Orientations to Reference Practice yang diketuai oleh Associate Professor Dr. Amy Vanscoy dari University at Buffalo, New York bersama Prof. Dr. Kiran Kaur dari Jabatan Sains Perpustakaan dan Maklumat, Universiti Malaya. Kajian ini bertujuan untuk meneliti amalan perkhidmatan rujukan di kalangan pustakawan di Malaysia.
Pemilihan PTAR sebagai lokasi kajian ini menandakan pengiktirafan terhadap kepakaran serta peranan pustakawan universiti dalam menyampaikan perkhidmatan rujukan berkualiti. Wakil pustakawan dari PTAR yang terlibat dalam kajian ini ialah Puan Nurul Aida Noor Azizi, Timbalan Ketua Pustakawan, Unit Pembangunan Bakat serta Cik Ummi Halimatunssaadiyya Samsul Yuzli, Pustakawan dari Unit Perkhidmatan Pelanggan. Kedua-dua mereka berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam mengendalikan perkhidmatan rujukan bagi warga universiti.
Kajian ini dijangka memberikan sumbangan yang besar dalam memperkaya pemahaman mengenai pendekatan pustakawan terhadap perkhidmatan rujukan serta memperkukuhkan lagi bidang kepustakawanan di peringkat antarabangsa. Diharapkan penyertaan pustakawan PTAR dalam kajian ini dapat memperkasa peranan pustakawan Malaysia dalam dunia akademik dan profesional.