Segamat, 17 Februari 2025 – Dalam usaha memperkukuh pemahaman kakitangan mengenai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan kompetensi, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) telah menganjurkan Bengkel Memperkasakan Sasaran Kerja Tahunan & Kompetensi. Bengkel yang berlangsung di CGS Trading Room, PTDI 1 ini melibatkan penyertaan secara bersemuka oleh staf PTDI Kampus Segamat dan secara dalam talian oleh staf PTDI Kampus Pasir Gudang.
Bermula pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bengkel ini bertujuan memberi penjelasan terperinci tentang konsep SKT, menyediakan asas kukuh bagi penilaian prestasi tahunan, serta meningkatkan kerjasama antara staf dalam mencapai sasaran organisasi. Sepanjang sesi, peserta diberikan panduan dalam menyediakan SKT yang lebih tersusun serta strategi meningkatkan kompetensi dalam melaksanakan tugas harian.
Maklum balas daripada peserta menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, dengan ramai yang berpendapat bengkel ini memberikan manfaat besar dalam memperbaiki pemahaman dan pelaksanaan SKT. Dengan kejayaan penganjuran ini, PTDI berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkasakan kecekapan dan profesionalisme dalam kalangan stafnya.
Pautan hebahan sosial : hebahan media sosial